Selangor ke final

Barisan aristokrat dari Selangor mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu depan sekalipun tewas 1-0 kepada Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam tadi. Anak didik Dollah Salleh menempah tiket ke final di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan agregat 2-1.

Kemenangan 2-0 menerusi jaringan Safee Sali dan R. Surendren pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam Rabu lalu menjadi bekalan cukup berharga buat Gergasi Merah Kuning.

Johor FC, pasukan kelab yang pertama bersaing dalam Liga Malaysia, memperolehi gol tunggal menerusi tandukan penyerang import, Walter Ariel Silva, pada minit ke-35.

Ramlan Rashid melihat anak buahnya mengasak Selangor untuk mencari gol kedua namun hajat mereka mengheret perlawanan ke masa tambahan tidak kesampaian.

Kecekapan penjaga gol Selangor, Mohd. Suffian Abdul Rahman yang dibantu kesungguhan barisan pertahanannya menafikan jentera serangan Johor FC.

Wisel penamat ditiup pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh, disambut gembira kem Selangor yang menanti keputusan di antara Terengganu dan Kedah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu esok. Juara bertahan Kedah menang 3-0 di Alor Star pada separuh akhir pertama Rabu lalu.

news courtesy of FAM