Penalti Seator kecewakan Polis

Selangor mara ke separuh akhir Piala Malaysia apabila mengikat Polis 3-3 pada malam penuh dramatik di Stadium Selayang malam tadi.

Penalti yang disempurnakan penyerang Liberia Frank Seator dengan perlawanan berbaki dua minit mengikat kedudukan 3-3, memastikan laluan Gergasi Merah Kuning ke separuh akhir menerusi jaringan di tempat lawan. Kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada pertemuan suku akhir pertama Rabu lalu.

Keputusan pengadil R. Krishnan menghadiahkan penalti sesudah Seator dijatuhkan oleh Yosri Derma Raju di dalam petak penalti pada minit ke-88 nyata menelurkan kekecewaan kepada pasukan Polis.

Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Seator seawal minit ke-12 sesudah Safee Sali dijatuhkan namun Polis menyamakan kedudukan menerusi Nizaruddin Yusof sembilan minit kemudian.

Biarpun Shukor Adan menambah jaringan Selangor pada minit ke-57, Polis tidak berputus asa, bahkan mengatur asakan bertali arus.

Tidak hairanlah apabila anak buah K. Thaiyanathan membuahkan dua jaringan dalam masa dua minit, menerusi Norfarhan Mohamad pada minit ke-80, disusuli penyudah Noh Alam Shah seminit kemudian.

Selangor akan bertemu Johor FC pada separuh akhir pertama di Shah Alam pada Rabu ini.

Di Ipoh, Kedah menambah derita Perak yang dilanda masalah kewangan menerusi kemenangan 2-0 dan 5-0 secara agregat.

Fadly Baharom menjaringkan gol pertama pada minit ke-35, disusuli Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-63. Perak pula menyaksikan tonggak tengahnya, Hardi Jaafar, dibuang padang lima minit sesudah rehat.

news courtesy of FAM