Johor FC dan tiga bekas juara mara ke separuh akhir
Johor FC adalah satu-satunya pasukan kelab yang menempatkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia musim 2008 dengan menyelitkan diri di celah-celah tiga lagi bekas juara.
Kemenangan bergaya 6-4 secara agregat ke atas UPB-MyTeam selepas masa tambahan memastikan anak didik Ramlan Rashid membuat temu janji dengan Selangor pada separuh akhir pertama di Shah Alam, Rabu ini.
Juara bertahan Kedah yang memburu gelaran ketiga musim ini sesudah menjuarai Liga Super dan Piala FA, pula akan bersua Terengganu bagi memburu tempat ke final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Ogos depan.
Di Pasir Gudang, [asukan Lebah itu menang selesa 5-1 hasil jaringan Gustavo Fuentes, bekas pemain tengah remaja kebangsaan, Nurul Azwan Roya yang menyumbat dua gol dan bekas perancang tengah Bawah 23, Syaiful Sabtu dan See Kok Luen.
Jaringan Sasa Branezac pada minit ke-88 pula memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan kerana kedudukan yang terikat 3-3 secara agregat. Masa tambahan menyaksikan Syaiful dan Kok Luen menghasilkan gol, masing-masing pada minit ke-110 dan 113.
Selangor pula menempah tiket apabila mengikat Polis 3-3 pada malam penuh dramatik di Stadium Selayang malam tadi.
Penalti yang disempurnakan penyerang Liberia Frank Seator dengan perlawanan berbaki dua minit mengikat kedudukan 3-3 secara agregat tetapi Gergasi Merah Kuning layak ke separuh akhir menerusi jaringan di tempat lawan. Kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada pertemuan suku akhir pertama Rabu lalu.
Keputusan pengadil R. Krishnan menghadiahkan penalti sesudah Seator dijatuhkan oleh Yosri Derma Raju di dalam petak penalti pada minit ke-88 nyata menelurkan kekecewaan kepada pasukan Polis.
Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Seator seawal minit ke-12 sesudah Safee Sali dijatuhkan namun Polis menyamakan kedudukan menerusi Nizaruddin Yusof sembilan minit kemudian.
Biarpun Shukor Adan menambah jaringan Selangor pada minit ke-57, Polis tidak berputus asa, bahkan mengatur asakan bertali arus.
Tidak hairanlah apabila anak buah K. Thaiyanathan membuahkan dua jaringan dalam masa dua minit, menerusi Norfarhan Mohamad pada minit ke-80, disusuli penyudah Noh Alam Shah seminit kemudian.
Di Ipoh, Kedah menambah derita Perak yang dilanda masalah kewangan menerusi kemenangan 2-0 dan 5-0 secara agregat.
Fadly Baharom menjaringkan gol pertama pada minit ke-35, disusuli Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-63. Perak pula menyaksikan tonggak tengahnya, Hardi Jaafar, dibuang padang lima minit sesudah rehat.
Kedah akan melayan kunjungan Terengganu yang menumpaskan Perlis 7-6 di Stadium Utama, Kangar menerusi penentuan penalti sesudah terikat tanpa jaringan sesudah dua perlawanan.
Penalti Terengganu disempurnakan oleh Zairo Anuar Zalani, Mazuki Yusof, Abdul Manaf Mamat, Alif Hafifi Mohamad, Shahrul Ezrain Shamsuddin, Hairul Nizam Hanif dan penjaga gol Sharbinee Allawee Ramlee.
Perlis pula kecewa sesudah sepakan Azi Shahril Azmi, K. Soley dan Amzar Junaidi Abdul Jalil diselamatkan oleh Sharbinee. Fauzie Nan, Azlan Ismail, Hassan Soayeb, Ridzuan Othman, Khairul Anuar Ramli dan Farderin Kadir menggegar jaring lawan.
news courtesy of FAM






3
1