REKOD bersih UPB-MyTeam dalam pemburuan ke suku akhir Piala Malaysia lebur di tangan Johor PBT malam tadi, dengan jaringan pemusnah disempurnakan oleh pemain pinjaman, Faizal Mansor.
Kemenangan tipis itu menghidupkan sisa-sisa perjuangan Johor PBT untuk mencuri tempat ke suku akhir kempen kali ini. Jurulatihnya Azuan Zain belum mahu mengangkat bendera putih sesudah semangatnya pulih hasil kemenangan di Stadium Petaling Jaya malam tadi.
“Saya tidak kisah sangat dengan kejayaan meleburkan rekod MyTeam. Yang penting peluang kami ke suku akhir masih ada. “Tiga mata berharga ini hasil jaringan pemain yang dipinjamkan dari Proton, Faizal,” kata Azuan.
Otelo Ocampos membuka jaringan pada minit ke-72 sebelum Faizal menambah jaringan empat minit kemudian. MyTeam merapatkan kedudukan pada masa tambahan hasil jaringan Nazrin Nawi.
Johor bagaimanapun sekadar melonjak ke tangga keempat dalam Kumpulan C yang dikepalai MyTeam dengan 18 mata, diikuti Perlis 13 mata, Perak 12 mata dan Johor 10 mata, mengatasi Pahang dengan perbezaan jaringan.
Dalam Kumpulan A, Selangor menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Paroi dalam satu perlawanan menarik dan seimbang. Indra Putra Mahayuddin muncul wira buat Gergasi Merah menerusi dua jaringan pada minit ke-33 dan 87, manakala Negeri Sembilan menyumbat jaringan tunggalnya menerusi K. Ravindran, enam minit sebelum rehat.
Selangor kekal di tangga keempat manakala Terengganu melonjak ke tangga kedua sesudah menumpaskan pendahulu kumpulan Kelantan 1-0 menerusi sentuhan Zairo Anuar Zalani pada minit ke-35.
Kedah pula melonjak ke tangga ketiga Kumpulan B selepas membalas dendam kekalahan mereka di tempat sendiri kepada Kuala Lumpur dengan kemenangan bergaya 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Fadly Baharom menjaringkan dua gol manakala Shafizan Hashim dan Marlon James masing-masing menyumbat satu gol. Jaringan tunggal Kuala Lumpur dirakamkan oleh Hafzairi Azmi.
Polis kekal mendahului Kumpulan B sesudah menumpaskan Pulau Pinang 3-1 manakala Johor FC di tangga kedua juga dengan kemenangan yang sama menewaskan Sabah.
source: FAM






3
1