Meen bantu Kedah lagi
Hanya empat hari sesudah muncul Pemain Terbaik Final Piala FA, Khyril Muhymeen Zambri sekali lagi tampil selaku pemusnah buat Kedah. Mangsanya malam ini ialah Pulau Pinang di Stadium Negeri di Batu Kawan.
Pemain kebangsaan itu yang menjaringkan satu gol ketika menewaskan Selangor 3-2 pada final di Shah Alam Sabtu lalu menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit ke-45 bagi memastikan Kedah pulang ke Alor Star dengan tiga mata dalam Kumpulan B. Kedah kini menduduki tangga kedua di belakang Johor FC.
Kuala Lumpur pula menewaskan Sabah 3-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, dengan Stanley Bernard menjaringkan dua gol pada minit ke-64 dan 85 sesudah Azwan Malek membuka tirai jaringan pada minit ke-27. Sabah membalas menerusi Sylvester Sindih pada minit ke-88 dan Radzi Hussin dua minit kemudian.
Dalam Kumpulan A, Terengganu bangkit menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-53 dan Jocian Bento pada minit ke-56. Kekalahan itu mengecewakan Wan Jamak Hassan yang melihat anak didiknya membuka jaringan melalui S. Kunalan pada minit ke-20.
Di Stadium Shah Alam, Selangor bangkit daripada kekecewaan kekalahan dalam Piala FA untuk menewaskan Sarawak 3-1. Frank Seator membuka tirai jaringan pada minit ke-39, disusuli Safee Sali pada minit ke-69 dan Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-90, manakala Sarawak membalas menerusi Saifulaye Camara empat minit sebelum tamat.
Kelantan turut mengumpul tiga mata sesudah menewaskan Melaka 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV hasil sentuhan penyudah Mohd Badri Radzi (minit ke-20 dan 52) dan Mohd Farisham Ismail (70). Kofi Etsiba Shaw menyumbat jaringan tunggal Melaka pada minit ke-82.
UPB-MyTeam pula menguasai Kumpulan C sesudah menewaskan Perlis 2-1 di Kangar. Sasa Branezac muncul wira dengan dua gol pada minit ke-36 dan 89 manakala Perlis membalas menerusi Philemon Chipeta pada minit ke-72. Dalam perlawanan lain, Pahang seri 2-2 dengan Perak di Kuantan manakala Johor menewaskan ATM 3-1 di Stadium Selayang.
source: FAM






3
1